Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, semua mesin tersebut diterima secara rasmi oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini hari ini.
"Kerajaan negeri melalui Kementerian KPMKR telah pun memberi sumbangan sebanyak 100 buah unit mesin dialisis kepada Kementerian Kesihatan Malaysia yang baru sahaja diterima oleh yang berhormat Menteri Kesihatan tadi.
"Ia akan digunakan oleh 23 hospital dan dua klinik kesihatan di negeri sama... ini amat memberi manfaat kepada semua pesakit.buah pinggang negeri Sabah," katanya.
Dalam pada itu, James turut memaklumkan bahawa pihaknya mengambil inisiatif mengecualikan bayaran yuran perkhidmatan dialisis kepada penerima manfaat yang menerima rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan.
Selain itu, bantuan sebanyak RM100 sebulan juga akan diberikan kepada pesakit yang menjalani rawatan di rumah menerusi kaedah Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD).
"Bukan itu sahaja, kerajaan negeri Sabah juga telah pun memberikan pengecualian pembayaran yuran bagi penerima perkhidmatan dialisis ini.
"Selain itu, *bagi* yang mendapat rawatan di rumah atau pendiri melalui CAPD, mereka akan diberi bentuan sebanyak *RM100* bagi setiap seorang, seperti yang dimaklumkan berhormat Menteri Kesihatan tadi," jelasnya.
Mengulas isu berkaitan kebajikan petugas kesihatan luar bandar, James turut membangkitkan keperluan agar Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada tindakan pegun elaun luar bandar serta elaun sara hidup bagi kawasan pedalaman.
"Sebentar tadi antara isu yang kita bangkitkan, termasuklah berkaitan dengan elaun luar bandar ini, selaku Exco Kerajaan Negeri saya minta supaya Sabah Sarawak ini dikecualikan daripada dipegunkan elaun luar bandar, elaun sarah hidup di kawasan luar bandar.
"Seperti mana yang berhormat Menteri cakap tadi, dia akan bawa dalam kabinet untuk diperhalusi nanti, jadi sekurang-kurangnya ada berita gembira kepada doktor-doktor yang bertugas luar bandar," ujarnya lagi.
Pada Mac lalu, media melaporkan KPMKR membekalkan 100 mesin hemodialisis tambahan untuk diagihkan ke beberapa hospital dan klinik di Sabah.
James berkata pengagihan mesin hemodialisis itu adalah inisiatif pihaknya bagi meringankan beban pesakit buah pinggang peringkat akhir (ESRF) khususnya dari golongan kurang berkemampuan.