Kelab Skuba Sabah sedia bantu didik pihak berkepentingan mengenai SOP keselamatan aktiviti selam skuba


KOTA KINABALU: Kelab Skuba Sabah bersedia membantu untuk mendidik pihak berkepentingan mengenai ketetapan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan bagi aktiviti selam skuba di seluruh negeri oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS).

Presidennya, Sim Fui berkata SOP yang dijangka akan diumumkan oleh kerajaan negeri dalam waktu terdekat ini merupakan langkah penting untuk memperkukuhkan keselamatan pelancong serta menyokong pelan Visit Malaysia Year 2026.

Menurutnya, pihaknya menyambut baik inisiatif terbabit dan menyifatkannya sebagai langkah yang sangat tepat pada masanya, khususnya bagi memastikan imej Sabah sebagai destinasi selaman bertaraf dunia terus terpelihara.

“Sabah sememangnya terkenal dengan lokasi selaman yang indah – dari ibu negeri, Sepanggar, Kota Belud, Kudat, Lahad Datu hinggalah ke Semporna. 

"Menurut Jabatan Perikanan Sabah, industri selam skuba telah menyumbang lebih RM500 juta kepada hasil negeri. Jumlah ini merupakan suntikan penting kepada ekonomi Sabah.

“Namun begitu, adalah membimbangkan sekiranya berlaku kemalangan membabitkan penyelam, lebih-lebih lagi pelancong asing. Oleh itu, pematuhan SOP ini amat penting bagi menjamin keselamatan dan reputasi negeri," katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya juga telah melakukan kunjungan hormat terhadap Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Josie Lai, baru-baru ini.

Katanya, pihak kementerian menekankan bahawa pematuhan terhadap SOP baharu ini perlu diberikan perhatian serius oleh semua pengendali aktiviti selaman dan pemain industri.

Mengulas lanjut, katanya pihak kementerian turut mengalu-alukan kerjasama Kelab Skuba Sabah dalam membantu mendidik pihak berkepentingan berhubung SOP tersebut. 

Sebagai sebahagian daripada komitmen tersebut, pihaknya akan menganjurkan satu Taklimat Keselamatan dan Perubatan kepada semua ahli pada 20 Julai ini yang turut akan melibatkan pengenalan kepada SOP baharu tersebut. 

Program ini diadakan susulan beberapa insiden kemalangan maut melibatkan penyelam, yang dikaitkan dengan kecuaian.

“Kami amat mengalu-alukan kerjasama ini dengan KePKAS dan akan memasukkan SOP terkini dalam sesi taklimat keselamatan kami. 

"Dengan penglibatan lebih ramai pemegang taruh, khususnya pengendali yang berurusan terus dengan pelanggan, kami berharap dapat mengurangkan kadar kemalangan selaman sebaik mungkin,” katamya.

Semua pengendali selam skuba, pengusaha pelancongan dan penyelam rekreasi dijemput hadir bagi mengikuti taklimat dan mendapatkan maklumat terkini berkaitan garis panduan keselamatan.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama