Galeri Sejarah penghargaan buat petugas HQE

Masidi (tengah) memotong riben ketika upacara perasmian Galeri HQE.

KOTA KINABALU:  Galeri Sejarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) dilancarkan untuk mengiktiraf sumbangan para petugas kesihatan yang menjadi tunjang sistem perubatan di Sabah.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata pelancaran galeri berkenaan memberi makna besar bukan hanya kepada sejarah perubatan negeri, malah sebagai wadah menghargai jasa doktor, jururawat, paramedik dan seluruh warga kerja HQE sejak penubuhannya pada 1957.

"Hospital bukan sekadar tempat merawat pesakit, ia juga lambang harapan, dedikasi dan kemajuan sesebuah masyarakat. Usaha mendokumentasikan sejarah ini sangat penting supaya generasi akan datang tidak melupakan akar perjuangan dalam membina sistem kesihatan yang kita miliki hari ini.

"Galeri itu memaparkan pelbagai dokumen, foto dan artifak bersejarah, menjadikannya sumber rujukan penting kepada pelajar, penyelidik serta masyarakat umum," katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Papan Tanda dan Galeri Sejarah Hospital Queen Elizabeth, pada Khamis.

Projek itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Commonwealth Association for Leadership Malaysia (CALM), bagi memperkukuh nilai warisan institusi kesihatan tertua di negeri ini.

Sementara itu, Presiden CALM, Yap Li Ling berkata inisiatif itu pada asalnya bermula sebagai projek pemasangan papan tanda, namun bertukar menjadi usaha pemeliharaan sejarah yang lebih menyeluruh selepas penemuan pelbagai bahan arkib berharga dengan bantuan Arkib Negeri Sabah dan Jabatan Penerangan.

"HQE dibina pada era penjajahan dengan kos asal 2£ juta pound bersamaan 56£ juta pound pada masa kini (bersamaan nilai ringgit RM320.8 juta) dan meneruskan perkhidmatan hampir tujuh dekad. Mengekalkan nama hospital ini serta memperingatinya secara rasmi adalah penghormatan kepada sejarah kita, dan sejauh mana Sabah telah berkembang sejak itu," ujarnya.

Lebih membanggakan, projek itu turut mendapat perhatian antarabangsa apabila dibentangkan kepada kerabat diraja British, Puteri Diraja Anne Elizabeth Alice Louise di Istana Windsor pada April lalu.

Puteri Anne, pernah melawat HQE bersama mendiang Ratu Elizabeth II pada tahun 1972, menyuarakan sokongan terhadap usaha tersebut dan mengutuskan surat penghargaan rasmi melalui Istana Buckingham. Surat berkenaan akan dipamerkan di lobi tingkat dua hospital sebagai simbol hubungan berterusan antara Sabah dan institusi Komanwel.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Datuk Dr. Abdul Kahar Abdul Asis dan Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Dr. William Gotudis.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama