Sabah mahu elaun doktor luar bandar dikaji semula, cadang 'Task Force' tangani vape - James Ratib

James sewaktu melawat tapak reruai di Kolokium Kesihatan Awam Sabah Kali Ke-17 di sini, hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan bagi mempertimbangkan semula penggantunggan elaun doktor luar bandar di negeri ini, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

Beliau berkata, perkara itu akan dibawa dalam pertemuan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad dalam masa terdekat.

“Saya akan berbincang dengan Yang Berhormat Menteri Kesihatan Malaysia mengenai beberapa perkara, termasuk elaun doktor-doktor di luar bandar yang telah dipegunkan.

“Saya minta supaya Sabah dan Sarawak ini dikecualikan kerana memandangkan di Sabah ini masih kekurangan doktor-doktor yang bertugas di luar bandar,” katanya ketika berucap merasmikan Kolokium Kesihatan Awam Sabah Kali Ke-17 di sini, hari ini.

Menurut beliau, jika isu penggantunggan elaun tidak diselesaikan, ia boleh menjejaskan minat doktor untuk menyambung perkhidmatan mereka bersama kerajaan.

“Sekiranya elaun mereka ini masih dipegunkan, saya rasa ramai doktor-doktor ini yang tidak mahu menyambung kontrak mereka dengan kerajaan.

“Menyebabkan kita masih kekurangan dari segi fasiliti di luar bandar yang perlu dinaik taraf seperti talian internet, air, elektrik. Jadi saya minta kepada Yang Berhormat Menteri supaya dapat melihat dan mempertimbangkan perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, James turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape yang memberi kesan buruk kepada kesihatan awam.

Katanya, satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi membanteras penjualan vape secara berleluasa di Sabah.

“Penjualan vape ini nanti kita buat task force dan tangkap semua penjual-penjual ini. Esok saya akan bincang dengan Menteri Kesihatan berkaitan dengan vape di Sabah ini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun negeri lain mengambil pendekatan melarang vape, pihaknya memilih untuk mengkaji dan menambah baik dasar sedia ada.

“Ini yang menimbulkan banyak penyakit, vape ini membinasakan kesihatan. Dasar vape ini kita akan buat penambahbaikan. Bukan diharamkan tapi kita buat penambahbaikan vape ini,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama