Lebih 100 Klinik Kesihatan Dinaik Taraf - James

Maria (kiri) bersama James (tengah) semasa ditemui media.
KOTA KINABALU: Lebih 100 buah klinik kesihatan di Sabah yang dibina menggunakan kayu telah dinaik taraf kepada konkrit.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib yang juga Exco Kesihatan Negeri berkata  jumlah itu direkodkan sepanjang tahun 2023 sehingga tahun 2025 bagi menambah baik aspek kesihatan di negeri ini.

"Kita telah menyiapkan lebih 100 buah klinik daif yang dibina dengan kayu ditukar dengan konkrit.

"Ini adalah satu perkembangan yang baik untuk negeri ini dalam aspek kesihatan," katanya semasa ditemui media selepas merasmikan Majlis Perasmian Kolokium Kesihatan Awam Sabah Kali Ke-17 di salah sebuah hotel terkemuka pada Rabu.

Dalam pada itu Pengarah Kesihatan Negeri Dr Maria Suleiman berkata sokongan penuh oleh kerajaan negeri telah membantu Jabatan kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk mendapat kelulusan peruntukan bagi projek naik taraf tersebut.

"Pada tahun 2023, kerajaan telah memberikan kita sebanyak RM10.8 juta, tahun 2024 kerajaan telah memberi kita RM21.5 juta dan tahun ini kita telah diberi sebanyak RM44 juta untuk membuat klinik-klinik daif ini.

"Kami berterima kasih kepada Datuk James, Exco Kesihatan kita kerana memberi sokongan penuh kepada JKNS dengan menyokong penuh permohonan kami ini," jelas beliau.

Dalam majlis tersebut, James berharap anggota kesihatan akan terus memberikan perkhidmatan terbaik dan profesional kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama