![]() |
Tertuduh, Abdul Gaffar Passaba, 52, dihukum 12 tahun penjara atas kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine, Januari tahun lalu. |
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu terhadap Abdul Gaffar Passaba, 52, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.
Mengikut pertuduhan, Abdul Gaffar, yang juga bapa kepada empat anak, didakwa memiliki dadah terbabit kira-kira jam 11.30 pagi pada 30 Januari 2024 di kawasan Pelabuhan Tawau.
Seksyen 39A(2) memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Sebelum itu, peguam tertuduh, Vivien Thien dalam rayuan mitigasinya memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah mengaku bersalah pada peringkat awal, tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sudah lama berdepan ketagihan dadah.
“Anak guam saya hanyalah seorang 'keldai dadah' yang tidak terlibat secara langsung dalam perancangan, kawalan atau memperoleh sebarang keuntungan daripada aktiviti ini. Beliau juga telah insaf dan ini merupakan sabitan pertama di bawah peruntukan melibatkan pengedaran,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira tahap keseriusan kes serta kepentingan awam.
“Jumlah dadah yang dirampas hampir empat kali ganda daripada berat minimum yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39A(2). Walaupun pertuduhan asal di bawah Seksyen 39B telah dipinda, fakta kes masih menunjukkan penglibatan serius tertuduh,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu 30 Januari 2024.