Sabah lokasi penganjuran ASEAN Youth Leadership

Sapawi ketika ditemui media.
KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi lokasi penganjuran Program Latihan Kepimpinan Belia Islam ASEAN (ASEAN Youth Leadership) dijangka diadakan pada Julai depan.

Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad berkata, program yang akan menghimpunkan belia dari lebih 10 negara di rantau ASEAN itu bertujuan membina kepimpinan belia Muslim dalam cabaran semasa dakwah di rantau ASEAN dan di bawah Regional  Islamic Da'wah Council of South East Asia and The Pacific (RISEAP).

"Kita cadangkan program itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang akan disertai 10 negara termasuk Filipina, Singapura, Laos, Vietnam, Kemboja dan Malaysia.

“RISEAP merupakan pertubuhan dakwah serantau yang dianggotai lebih 20 negara dan presidennya ialah Premier Sarawak.

“Sekurang-kurangnya program ini menjadi platform melatih belia dalam kepimpinan serta menghadapi cabaran semasa berkaitan perkembangan dakwah hari ini,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Sapawi memaklumkan, kunjungan berkenaan bertujuan menjemput Tun Musa untuk merasmikan program tersebut.

Beliau turut menjelaskan, hubungan kerjasama antara USIA, RISEAP dan badan dakwah lain mencerminkan gabungan dakwah yang konsisten, walaupun sebelum ini kurang ditonjolkan secara bersama.

"RISEAP sendiri ditubuhkan dengan matlamat membantu negara-negara yang mempunyai masyarakat Islam sebagai golongan minoriti.  

"USIA sebagai badan dakwah yang tertua di Sabah ini, kami sentiasa memberi kerjasama dengan mana-mana saja badan dakwah," ujarnya.

Tambah beliau, USIA juga akan menganjurkan Bulan Dakwah Sabah bersempena dengan sambutan Maal Hijrah 1447H pada 5 Julai 2025.

“Kita telah berbincang untuk melancarkan Bulan Dakwah Sabah yang dilaksanakan dengan kerjasama NGO dakwah di seluruh negeri dan akan menampilkan penceramah terkenal untuk menjelajah ke seluruh Sabah,” katanya lagi.

Terdahulu, Tun Musa menerima kunjungan hormat Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abdul Rahman Sebli bersama rombongan.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama