Keputusan kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, tangguh 23 Julai depan

13 remaja ketika hadir prosiding di Mahkamah Tinggi Tawau pada 14 Mei lalu.

TAWAU : Keputusan kes bunuh melibatkan pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD), Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, yang dijadualkan hari ini ditangguhkan kepada 23 Julai depan bagi memberi laluan kepada klarifikasi hujahan pihak terlibat.

Penangguhan itu dimaklumkan melalui notis Mahkamah Tinggi bertarikh semalam.

Seramai 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama kolej berkenaan antara jam 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif ketika ditemui pemberita berkata, semua pihak terlibat telah mengemukakan hujahan balas masing-masing kepada mahkamah.

“Pihak pendakwaan telah memfailkan hujahan utama setebal 266 muka surat, serta hujahan balas terhadap pihak pembelaan,” katanya.

Pada 15 April lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil 18 saksi memberi keterangan pada peringkat pembelaan dengan semua 13 tertuduh turut memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Lapan daripada tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye. Lima lagi diwakili peguam Abdul Ghani Zelika serta barisan peguam lantikan Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.






Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama