Pindaan peraturan LPG bersubsidi ambil kira keperluan peniaga kecil – Armizan


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memperhalusi cadangan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, khususnya berkaitan sekatan had penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi bagi sektor perdagangan dan perniagaan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sesi libat urus yang diadakan hari ini memberi tumpuan kepada memperincikan pindaan berkenaan dengan mengambil kira keperluan peniaga makanan dan minuman berskala mikro serta kecil.

Katanya, langkah ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 5 Jun lalu yang bersetuju dengan syor dikemukakan oleh KPDN untuk meminda peruntukan sedia ada, yang sebelum ini diwartakan pada tahun 2021.

“Pindaan ini penting bagi memastikan wujudnya kejelasan undang-undang (clarity of law) dalam pelaksanaan subsidi LPG. 

"Dalam masa sama, ia turut menjamin kebajikan golongan peniaga kecil yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. 

Beliau berkata, antara perkara utama yang diberi perhatian dalam sesi itu termasuk parameter bagi mendefinisikan kategori perniagaan makanan dan minuman yang layak menerima subsidi, status pemilikan perniagaan, jumlah keperluan LPG, serta mekanisme kawalan dan pelaporan penggunaan.

“Selain itu, aspek keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan, serta strategi menyeluruh bagi mengekang ketirisan LPG bersubsidi turut dibincangkan dengan teliti,” katanya.

Armizan berkata, pihaknya turut meminta semua persatuan yang terlibat untuk mendapatkan maklum balas daripada ahli masing-masing dan mengemukakan memorandum cadangan kepada Jawatankuasa Teknikal Semakan Pindaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN.

Turut hadir dalam sesi libat urus itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian merangkap Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama