![]() |
Ellron (tengah) pada Upacara Memperingati 'Double Six' 2025 bertempat di Tugu Peringatan 'Double Six', di sini, hari ini. |
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mencadangkan agar wakil daripada kerajaan Persekutuan menghadiri Upacara Memperingati 'Double Six' 2025 pada tahun hadapan.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam upacara itu berkata cadangan terbabit dikemukakan agar sejarah tragedi itu lebih diketahui umum.
"Kita juga mungkin cadangkan supaya wakil daripada kerajaan pusat untuk dijemput majlis kali ke 50 dan seterusnya supaya kita dapat mengingati tragedi ini dan mendapat fakta tentamg sejarah politik di Sabah.
"Tadi juga ada berbincang dengan beberapa pemimpin dimana ada jemputan (menghadiri Upacara Memperingati 'Double Six') kepada belia di peringkat sekolah dan juga universiti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media selepas Upacara Memperingati 'Double Six' 2025 bertempat di Tugu Peringatan 'Double Six', di sini, hari ini.
Tragedi 'Double Six' yang berlaku pada 6 Jun 1976 itu melakar sejarah hitam kepada negeri ini dimana Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens dan 10 yang lain, termasuk menteri kabinetnya, apabila pesawat GAF Nomad dinaiki mereka terhempas di Sembulan.
Selain Fuad, antara yang turut terkorban adalah Datuk Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah); Datuk Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah) dan Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).
Antara yang lain, Datuk Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah); Datuk Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah); Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah) dan Ishak Atan (Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia).
Selain itu, Koperal Said Mohammad (Pengawal Peribadi kepada Ketua Menteri Sabah); Johari Fuad Stephens (anak kepada Ketua Menteri Sabah) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ) turut terkorban.