![]() |
Nizam, ketika ditemui pemberita selepas mengagihkan 23 ekor lembu korban di lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Apas, di sini. |
TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan hala tuju politik gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan bahawa GRS belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung kemungkinan bekerjasama dengan UMNO.
Menurutnya, kenyataan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengenai kesediaan UMNO mempertimbang kerjasama dengan GRS selepas PRN hanya bersifat pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi mana-mana pihak.
“Itu adalah pandangan peribadi Datuk Seri Bung Moktar. Seperti yang ditegaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, GRS masih belum mengeluarkan sebarang keputusan rasmi mengenai perkara itu,” katanya.
Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, sebarang keputusan penting akan dibuat berdasarkan suara rakyat dan pandangan akar umbi.
“GRS akan bermesyuarat tidak lama lagi bagi membincangkan hala tuju gabungan. Kita akan meneliti denyut nadi rakyat sebelum membuat sebarang keputusan besar,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan 23 ekor lembu korban di lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Apas, hari ini.
Dalam pada itu, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas menyifatkan pentadbiran kerajaan GRS-PH Plus menunjukkan prestasi cemerlang sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negeri.
Katanya, banyak pencapaian berjaya direalisasikan termasuk dalam sektor infrastruktur, pembangunan luar bandar, pendidikan dan kebajikan rakyat.
“Kerajaan GRS konsisten dalam usaha membangunkan negeri, menyelesaikan isu legasi lama dan memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” katanya.
Nizam turut mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan spekulasi politik yang berpotensi menggugat kestabilan negeri.
“Fokus utama kita adalah untuk meneruskan agenda pembangunan dan memastikan Sabah kekal di landasan yang betul.
“Biar pimpinan GRS berbincang dan membuat keputusan secara kolektif, dengan semangat kebersamaan dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, GRS adalah gabungan politik yang matang dan tidak akan membuat keputusan berdasarkan emosi atau tekanan luar.
“Apa jua bentuk kerjasama politik menjelang PRN akan ditentukan berdasarkan aspirasi rakyat dan demi masa depan Sabah,” katanya.