Etika, tanggungjawab dalam penyampaian maklumat – Jainisah

 

Para peserta merakamkan gambar kenangan bersama-sama Jainisah (duduk depan kiri), Siti Mariam (duduk dua dari kiri) dan Diana (duduk kanan) sejurus menamatkan kursus.

KOTA KINABALU: Anggota Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah diseru agar sentiasa mematuhi etika serta bertanggungjawab dalam penyampaian maklumat.

Pengarahnya, Jainisah Mohd Noor berkata setiap anggota perlu memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah sahih, beretika serta tidak menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi raja, sejajar dengan usaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan nasional.

"Dalam landskap komunikasi yang semakin mencabar ketika ini, penguasaan kemahiran kewartawanan mudah alih atau mobile journalism (MOJO) perlu diseimbangkan dengan kefahaman mendalam terhadap etika penyampaian dan perundangan yang berkaitan.

"MOJO kini menjadi trend dan sesiapa sahaja boleh menjadi penyampai berita, sama ada melalui video pendek, gambar atau hantaran di media sosial. 

"Namun, tidak semua faham tentang amanah besar yang datang bersama kemudahan ini. Kita tidak boleh kejar viraliti semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab menyampaikan maklumat yang benar," katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Kursus Etika Asas Kewartawanan Dalam Mobile Journalism (MOJO) di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dekat sini, pada Selasa.

Kursus sehari anjuran Bahagian Media dan Komunikasi Korporat (MKK) JAPEN Sabah itu melibatkan penyertaan 30 warganya yang memberi fokus kepada penghasilan berita, kenyataan media dan gambar berkualiti serta pemantapan nilai integriti, sensitiviti sosial dan kefahaman terhadap akta-akta utama yang berkaitan termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Rahsia Rasmi 1972 serta Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurut Jainisah, walaupun teknologi seperti telefon pintar dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) memberi kemudahan yang luar biasa dalam penghasilan kandungan media, ia juga datang dengan risiko penyalahgunaan sekiranya tidak disertai kawalan kendiri dan kesedaran terhadap undang-undang.

"Sebagai penjawat awam, kita tidak boleh sesuka hati menyebarkan maklumat terutama berkaitan isu-isu sensitif. 

"Tersalah langkah, kita boleh berdepan tindakan undang-undang berat, termasuk penjara seumur hidup di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan para peserta agar mematuhi peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang turut ditandatangani Malaysia sejak 1995.

Jainisah juga mengajak anggotanya untuk memanfaatkan media sosial secara positif, menjadikan platform digital sebagai saluran menyebar nilai murni dan memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sabah khasnya dan Malaysia amnya.  

Turut hadir pada majlis penutupan itu ialah Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian MKK Dr Diana Dominic serta KPP Bahagian Keurusetiaan JAPEN Sabah Siti Mariam Datuk Aziz.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama