ROVR Petronas dipasang di Kuala Abai, mudahkan nelayan akses bahan api


KOTA BELUD: Penduduk dan komuniti nelayan di Kampung Kuala Abai bakal menerima kemudahan pengisian bahan api menerusi pemasangan perkhidmatan ROVR Petronas, hujung bulan ini.

Perkhidmatan tersebut merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Petronas Dagangan Berhad, susulan permintaan penduduk setempat yang berdepan kesukaran mendapatkan petrol untuk kegunaan bot nelayan.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata inisiatif ini merupakan langkah responsif kerajaan terhadap keperluan masyarakat luar bandar, khususnya golongan nelayan yang amat memerlukan akses bahan api mudah dan selamat.

“Perkhidmatan ROVR di Kampung Kuala Abai ini adalah hasil permintaan daripada penduduk kampung, khususnya para nelayan.

"Alhamdulillah, pada hujung bulan ini, perkhidmatan tersebut akan mula dipasang,” katanya.

Menurut beliau, program ROVR yang diperkenalkan oleh Petronas sejak 2018 kini terus diperluaskan ke kawasan yang dikenal pasti berdasarkan permintaan sama ada secara langsung kepada Petronas atau melalui pemimpin masyarakat.

Penyediaan ROVR bukan sahaja memudahkan urusan logistik nelayan, malah dilihat mampu mengurangkan beban kos sara hidup penduduk luar bandar yang sebelum ini perlu bergerak jauh untuk mendapatkan bahan api.

Inisiatif ini sekaligus menyokong kelangsungan ekonomi nelayan kecil dan memastikan keperluan asas komuniti terpencil terus diberi perhatian.

"Setakat ini, sebanyak lapan perkhidmatan ROVR telah dipasang di seluruh negara, dengan enam di Sarawak dan dua di Sabah.

"Kita akan bincangkan dengan Petronas supaya pemasangan dilakukan di kawasan tertentu yang memerlukan,” tambahnya lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama