![]() |
Fahmi (kiri) bersama perdana menteri dalam penyampaian hadiah bagi Anugerah Khas HAWANA 2025 | Ihsan FB Kementerian Komunikasi. |
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan memberi inisiatif khas sebanyak 50 peratus bagi penerbangan AirAsia secara 'one-off' ke 57 destinasi di rantau ASEAN khusus untuk pemegang Kad Perakuan Media yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA 2025).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata seramai 12,498 pengamal media aktif telah berdaftar sehingga 4 Jun lalu, termasuk 12,297 warganegara Malaysia yang aktif dalam pelbagai platform seperti media cetak, penyiaran, digital, dan auto-berita.
“Inisiatif ini adalah pengiktirafan kepada para pengamal media yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat.
“Dengan tawaran ini, kami berharap ia dapat membuka peluang lebih luas untuk mereka menjelajah, berhubung, dan mendalami budaya di negara-negara ASEAN,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena HAWANA 2025 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Majlis Kemuncak HAWANA 2025 disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, pengumuman tersebut dibuat hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan AirAsia.
Beliau menyatakan bahawa tempahan tiket bermula serta-merta sehingga 31 Disember 2025, manakala penerbangan boleh dilakukan dari April hingga September 2026.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Tony Fernandes (Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat Strategik AirAsia) yang telah menerima panggilan saya sewaktu beliau di luar negara untuk bersama dalam inisiatif ini.
"Saya percaya ia adalah satu isyarat bermakna dalam menghargai sumbangan para pengamal media dan membuka peluang yang lebih besar bagi mereka untuk menjelajahi serta berhubungan dengan negara-negara ASEAN,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pengamal media sambil menzahirkan harapan agar semua media terus cemerlang dalam menyampaikan kebenaran dan maklumat yang bermanfaat kepada masyarakat.