![]() |
Ops Bersepadu Esscom di Semporna. |
SEMPORNA : Seramai 56 individu termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI), suspek kes narkotik dan penyeludup barang kawalan ditahan dalam Operasi Bersepadu yang dikoordinasikan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang berakhir semalam.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner, Datuk Victor Sanjos berkata operasi Dua hari bermula 12 hingga 13 Jun itu turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta pelbagai agensi penguatkuasaan Persekutuan, Negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata, operasi dijalankan di kawasan penempatan pinggir bandar dan sekitar pasar umum Semporna bagi membanteras penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi, penyusupan PATI serta kegiatan jenayah rentas sempadan.
"Sepanjang operasi, sebanyak 147 pemeriksaan fizikal terhadap individu dan lebih 100 premis kediaman serta perniagaan telah dijalankan.
![]() |
Ops Bersepadu Esscom di Semporna. |
"Hasilnya seramai 34 PATI warga Filipina ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63, manakala 16 individu lain ditahan atas kesalahan berkaitan Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Selain itu katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna turut menahan dua individu dan merampas 15.94 gram dadah jenis methamphetamine, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Manakala Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna bersama Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak merampas sejumlah minyak petrol dan minyak masak bersubsidi yang dipercayai diseleweng, serta menyita sebuah bot kayu dengan enjin sangkut dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sepanjang operasi tersebut adalah RM63,987.50.
"Empat individu ditahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.