![]() |
Tertuduh berusia 37, dihukum penjara 12 tahun dan 9 sebatan atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandungnya, empat tahun lalu. |
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 37, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadapnya melampaui keraguan munasabah bagi ketiga-tiga pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap dua anak perempuannya yang masing-masing berusia 10 dan lapan tahun ketika kejadian, dalam tiga insiden berasingan yang berlaku di kediaman mereka di Felda Umas, antara tahun 2021 dan 2022.
Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu Muhammad Haikal dalam hujah pemberatan hukuman, memohon agar hukuman maksimum dikenakan mengambil kira kepentingan awam serta faktor bahawa tertuduh adalah bapa kandung kepada kedua-dua mangsa.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dihukum penjara empat tahun dan tiga sebatan, bagi setiap pertuduhan dan kesemua hukuman diperintahkan berjalan secara berasingan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 12 tahun dan sembilan sebatan.
Mahkamah menetapkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 18 Julai 2023.
Selain itu, tertuduh juga dikehendaki mengikuti sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta menjalani pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.