KOTA KINABALU: Sambutan kemuncak Regatta Lepa Edisi ke-30 dijadualkan akan berlangsung bertempat di Dataran Regatta Lepa Semporna dan Padang Bandar Semporna pada 29 Jun ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata sambutan yang sinonim dengan masyarakat Bajau di Semporna itu bukan sekadar sebuah perayaan tradisi malah turut mencerminkan jati diri dan keharmonian etnik terbabit.
“Sebuah pesta kebudayaan maritim yang sinonim dengan daerah Semporna, khususnya masyarakat Bajau dengan tema tahun ini ‘Mairan Addat Bangsa Ta’ yang bermaksud ‘Pesta Budaya Bangsa Kita’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sidang media Sambutan Regatta Lepa Kali Ke-30 Tahun 2025 bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata bahawa kerajaan negeri komited untuk terus memperkasakan program berteraskan kebudayaan sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan pelancongan yang mampan dan inklusif.
“Regatta Lepa bukan sekadar acara pelancongan tetapi juga platform untuk memperkukuhkan jati diri, menjana ekonomi tempatan, dan menyatukan rakyat dari pelbagai latar belakang melalui semangat kebudayaan,” jelas beliau.
Menurutnya, pelbagai acara telah dirangka pihaknya sebagai pengisian program sempena sambutan Regatta Lepa Edisi ke-30 ini.
Antara acara yang dilangsungkan adalah Majlis Perasmian dan Penutupan Rasmi Regatta Lepa 2025, Pertandingan Ratu Lepa dan Pertandingan Lepa Tradisi serta Penobatan ‘Anugerah Tokoh Regatta Lepa 2025’.
Selain itu, persembahan kebudayaan tarian Igal, muzikal teater ‘Umaral 1886’ serta persembahan koir rakyat ‘Da Suara’ dijadualkan juga akan turut diadakan.