Gajah Borneo tidak akan dieksport atau dipinjamkan ke luar negara - Christina

Christina (tengah) sewaktu sidang media sempena pelancaran Regatta Lepa ke-30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menegaskan bahawa gajah Borneo tidak akan dieksport atau dipinjamkan ke mana-mana zoo atau negara luar atas faktor pemuliharaan dan kesejahteraan spesies berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan gajah Borneo yang merupakan spesies endemik terus dipelihara di habitat asalnya.

"Terdapat beberapa pihak, termasuk dari luar negara, yang menyatakan minat untuk meminjam atau mendapatkan gajah Borneo. Namun, saya ingin tegaskan bahawa pendirian kita adalah jelas, kita tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

"Bayangkan jika kita perlu eksport haiwan ini ke luar negara, sedangkan kita sendiri sedang bertungkus-lumus memelihara mereka di sini,” katanya.

Menurut Christina, Sabah kini berada di pertengahan pelaksanaan Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah Borneo 2020–2029 yang merangkumi aspek perlindungan habitat, penambahbaikan fasiliti, serta penjagaan veterinar.

"Kita kini sedang menaik taraf pusat-pusat perlindungan termasuk di Sandakan dan Lok Kawi.

"Dengan adanya garis panduan yang jelas dalam pelan tindakan ini, kita dapat memastikan gajah-gajah ini dijaga dengan rapi dan dihantar kembali ke hutan selepas dirawat," jelasnya.

Beliau turut berkongsi bahawa kematian seekor gajah akibat dibunuh sebelum ini memberi kesan mendalam kepadanya dan menguatkan lagi komitmen kerajaan negeri dalam usaha pemuliharaan.

"Saya sangat prihatin dengan nasib gajah-gajah ini. Mereka adalah kekayaan biodiversiti Sabah dan menjadi tanggungjawab kita untuk menjaganya,” tegasnya lagi.

Christina berkata demikian semasa sesi sidang media sempena pelancaran Regatta Lepa ke-30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Pelan tindakan 10 tahun itu disokong sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan Persekutuan melalui Jabatan Hidupan Liar Sabah disamping turut merangkumi kerjasama penyelidikan dengan pakar pemuliharaan tempatan serta antarabangsa.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama