Polis buka tiga kertas siasatan, sahkan terima enam laporan himpunan antirasuah

 

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka tiga kertas siasatan membabitkan sembilan kesalahan berkaitan perhimpunan antirasuah anjuran sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) di ibu negeri, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata siasatan itu dijalankan susulan enam laporan polis yang diterima berhubung insiden ketika himpunan berkenaan berlangsung.

Katanya, walaupun penganjur menyatakan perhimpunan itu bersifat aman dan bertujuan menyuarakan pendirian terhadap isu rasuah, namun terdapat beberapa pelanggaran undang-undang yang dikesan sepanjang himpunan berlangsung.

“Setakat ini, kita telah membuka tiga kertas siasatan melibatkan lebih kurang sembilan kesalahan, antaranya perbuatan menghasut, pembakaran di tempat awam dan membawa bahan kakisan atau bahan berbahaya seperti minyak semasa perhimpunan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Jauteh turut menegaskan bahawa walaupun perhimpunan awam dibenarkan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, namun penganjur gagal mematuhi 15 syarat yang telah ditetapkan oleh pihak polis.

Menurutnya, perlu difahami, perhimpunan ini bukanlah diberi ‘kelulusan’, tetapi pihak polis memberikan maklum balas serta menetapkan syarat bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan semua pihak terjamin.

“Antara insiden yang disiasat termasuk tindakan membakar gambar pemimpin negara dan membawa bahan berbahaya, yang boleh disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan juga Akta Hasutan.

“Kita tidak akan berkompromi sekiranya ada perbuatan melanggar undang-undang. Walaupun tindakan tidak diambil semasa perhimpunan berlangsung, siasatan tetap dijalankan berdasarkan bukti dan laporan diterima,” katanya.

Mengulas penyertaan orang awam dalam perhimpunan tersebut, Jauteh menjelaskan bahawa menurut Seksyen 4 Akta Perhimpunan Aman, mana-mana warganegara Malaysia berusia 15 tahun ke atas boleh menyertai perhimpunan selagi ia mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, beberapa individu termasuk peserta dan penganjur telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Kita juga sedang menyiasat kehadiran kumpulan lain yang turut berada di lokasi, termasuk yang dikenali sebagai ‘baju putih’. Fokus siasatan adalah kepada kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Suara Mahasiswa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pelajar atau mana-mana pihak yang mahu menyuarakan ketidakpuasan hati supaya berjumpa dengan pihak berkaitan dan menyatakan hasrat mereka secara sah, tanpa mencetuskan provokasi atau melanggar undang-undang.

“Kalau ingin bersuara, datang secara berhemah, bawa wakil dan maklumkan kepada media. Tidak perlu sampai mencetuskan insiden yang boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil,” katanya.

Jauteh berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya selepas siasatan lengkap.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama