PRN Sabah: Zahid nafi BN Pusat, negeri tidak sehaluan

 


BANGI: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan kepemimpinan BN Pusat dan negeri tidak sehaluan dalam memuktamadkan keputusan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Memetik sumber Berita Harian, beliau berkata kepemimpinan gabungan hanya melaksanakan beberapa penyelarasan tertentu sebagai persediaan menghadapi PRN Sabah.

"Kita sebenarnya melakukan penyelarasan (bagi menghadapi PRN Sabah) dan menerusi semakan, saya dapati kadang-kadang kenyataan (kepemimpinan BN Pusat dan negeri) diambil di luar konteks.

"Situasi ini tiada perbezaan daripada segi prinsip antara pendirian negeri, terutama UMNO dan BN dengan (kepemimpinan di peringkat) Pusat.

"Kami sering mengadakan rundingan dan perbincangan (persediaan menghadapi PRN Sabah)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, BN dan Perikatan Nasional (PN) dilaporkan belum memuktamadkan kerjasama secara rasmi sebagai pakatan bagi menghadapi PRN Sabah.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga tueut berkata Pakatan Harapan (PH) tidak perlu bertindak sebagai 'jambatan' bagi menghubungkan BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menghadapi PRN.

"Ini kerana kita buat ketetapan BN dan PN (berada) dalam kesepakatan. Keputusan kita buka pintu kepada parti dan gabungan lain (untuk bekerjasama).

"Perkara ini sedang berada dalam 'pipeline'. Saya tidak fikir perlu jambatan atau sebarang saluran lain, Insya-Allah akan adakan rundingan lebih luas daripada GRS," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama