![]() |
Suspek disyaki terbabit kes penipuan ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Timur, di sini, semalam. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU: Seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes penipuan ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) selepas ditemui memiliki dadah jenis syabu di Jalan Timur, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 11 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui satu kotak rokok dalam poket seluar suspek yang mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat anggaran 0.16 gram.
“Semakan menggunakan peranti Mobile Card Acceptance Device (MCAD) mendapati suspek adalah individu yang dikehendaki polis berhubung kes penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Selain itu, ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, pihak polis akan terus mempertingkatkan pemeriksaan dan sekatan jalan raya bagi mengesan individu dikehendaki serta membanteras kegiatan jenayah di daerah ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menghubungi IPD Tawau atau balai polis berhampiran untuk tindakan segera.