Polis tahan PATI simpan senapang angin buatan sendiri

Suspek pendatang asing tanpa izin PATI, berumur 39 tahun ditahan atas kesalahan memiliki senjatapi buatkan sendiri. Foto | Ihsan PDRM.

KALABAKAN: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai pendatang tanpa izin (PATI) selepas menemui selaras senapang angin buatan sendiri di sebuah rumah di FELDA Tengah 2, di sini, petang semalam.

Suspek berusia lingkungan 39 tahun ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan selepas menerima maklumat awam mengenai kehadiran individu mencurigakan di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan awal terhadap tubuh badan suspek tidak menemui sebarang barang terlarang.

Bagaimanapun katanya, hasil soal siasat lanjut mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Dengan dipandu arah oleh suspek, polis kemudian menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah dan berjaya menemui selaras senapang angin buatan sendiri disorokkan di dalam premis berkenaan.

“Senjata berkenaan dipercayai digunakan untuk tujuan memburu namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti tujuan sebenar pemilikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut dan semua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama