GRS kepada Bung: Jangan berlagak seperti mangsa keadaan, kami tidak perlukan anda


KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai menyelar kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini yang disifatkan angkuh dan jauh daripada realiti politik Sabah yang sebenar.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini, beliau berkata pihaknya menolak dakwaan Bung Moktar yang menyatakan bahawa GRS telah mengkhianati Barisan Nasional (BN).

Disamping itu, beliau turut menyifatkan ia sebagai percubaan jelas untuk memutar belitkan naratif sebenar dan menyimpang daripada tindakannya sendiri.

"Bung adalah orang terakhir yang harus bercakap tentang kesetiaan atau keikhlasan. Dia cuba menjatuhkan kerajaan yang menjadi sebahagian daripadanya, hanya untuk memenuhi cita-citanya sendiri. Itu bercakap besar.

“Bung yang bersekongkol dengan Parti Warisan (WARISAN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada Januari 2023 untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Dia tidak dikhianati, dia yang melakukan pengkhianatan. Walaupun semasa duduk dalam kabinet negeri, dia tidak menghormati rakan-rakannya dalam kerajaan negeri yang dipimpin oleh Hajiji sebagai Ketua Menteri," katanya.

Dalam pada itu, Joniston juga menegaskan bahawa GRS tidak pernah bergantung kepada UMNO dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang secara bebas.

Oleh itu, beliau mengingatkan Bung Moktar harus berhenti bersikap angkuh dengan menyindir seolah-olah GRS begitu sukar untuk bekerjasama dengan UMNO-BN.

Joniston turut menegaskan bahawa semasa krisis politik, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO enggan menyokong tindakan Bung Moktar dan sebaliknya menyokong Hajij bersama Pakatan Harapan (PH).

"Jika ada yang perlu muhasabah, itu Bung. Mengapa rakan sekutu anda sendiri meninggalkan 'Langkah Kinabalu' anda? Mengapa PH menyokong Hajiji, bukan anda? Jawapannya jelas kerana kepercayaan itu bukan kepada anda," katanya.

Joniston yang juga merupakan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) mengulangi bahawa pihaknya tidak akan melupakan penghinaan yang dilemparkan Bung apabila pernah melabelkan PBS sebagai ‘melukut di tepi gantang’.

"Anda tidak menghormati PBS atau sekutu anda, dan sekarang anda mengharapkan kerjasama? Jangan terkejut jika rakyat Sabah terus menolak UMNO seperti yang mereka lakukan di negeri lain melibatkan seluruh Semenanjung.

"Sabah bukan talian hayat politik anda. Jangan buat negeri ini seperti 'fallback plan' (rancangan alternatif sekiranya rancangan utama gagal)," katanya.

Disamping itu, beliau juga menegaskan bahawa GRS kini memberi tumpuan kepada perkara yang penting iaitu perpaduan, kestabilan dan penyampaian untuk rakyat.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama