267 murid SK Nanamun bakal nikmati kemudahan bangunan baharu



KOTA BELUD: Seramai 267 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nanamun di sini bakal menikmati kemudahan bangunan baharu lebih awal daripada jadual apabila projek pembinaan semula sekolah itu dijangka siap sepenuhnya pada 1 Julai depan.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan berkata, projek gantian penuh SK Nanamun melibatkan pembinaan 12 bilik darjah serta pelbagai kemudahan lain itu sepatutnya siap pada 8 Ogos ini, namun kini mendahului jadual asal.

"Ini adalah satu projek yang sangat penting untuk penduduk di kawasan ini. 267 murid dan 28 guru terlibat.

"Projek ini mengambil masa tiga tahun dan dilaksanakan dalam dua fasa," katanya semasa lawatan kerja ke tapak projek hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan projek dilakukan secara berfasa dengan bangunan lama dirobohkan terlebih dahulu sebelum murid dan guru dipindahkan secara berperingkat ke blok baharu.

Ahmad turut memaklumkan bahawa kontraktor telah memberikan jaminan bahawa projek tersebut akan disiapkan sepenuhnya pada 1 Julai, dan menyifatkan ia sebagai satu contoh projek yang berjaya dilaksanakan tanpa lanjutan masa.

"JKR bersama kontraktor memastikan projek ini berjalan lancar tanpa keperluan 'extension of time' (EOT).

"Malah, projek ini disiapkan lebih awal, sekali gus menjimatkan kos kerajaan daripada tuntutan 'loss and expense,'" jelasnya lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama