Penumpang Myvi maut nahas tiga kenderaan

 


LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tengah Nipah, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Hayati Samawi, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas kereta jenis Perodua Myvi dinaikinya bertembung dengan dua lagi kenderaan lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.34 petang.

“Sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

“Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Myvi, Toyota Hilux dan lori 10 tan.

“Seorang penumpang Myvi disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, pemandu Myvi berusia 69 tahun hanya cedera ringan dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Pemandu dan penumpang Toyota Hilux masing-masing berusia 60 dan 62 tahun, serta pemandu lori berusia 24 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang selepas lokasi kejadian disahkan selamat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama