![]() |
Sabin Samitah ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Membasmi Tikus di Pasar Besar KK, hari ini. |
KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melancarkan Kempen Membasmi Tikus Pihak Berkuasa Tempatan Tahun 2025 dengan menawarkan insentif sebanyak RM2 bagi setiap tikus yang berjaya ditangkap di sekitar kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu.
Mayor DBKK, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata langkah terbabit merupakan inisiatif pihaknya dalam usaha mengurangkan infestasi haiwan perosak terbabit di sekitar kawasan bandaraya.
Menurutnya, kempen yang bermula pada hari ini sehingga 31 Julai itu dilaksanakan DBKK bagi memastikan tahap kebersihan persekitaran sentiasa terpelihara dan mengawal risiko penularan penyakit berjangkit seperti leptospirosis.
“Ini bukan sahaja akan menimbulkan masalah kesihatan kepada para pengunjung tetapi ia juga boleh menjatuhkan imej pasar besar serta bandaraya kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program berkenaan bertempat di Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Kempen tersebut turut disertai pelbagai agensi lain termasuk Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu (PKKKK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Persatuan Pengurusan Bersepadu Makhluk Perosak Sabah serta Persatuan Penjaja Kota Kinabalu, penjaja dan kakitangan DBKK.
Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya juga akan memainkan peranan dengan melaksanakan inisiatif lain bagi memastikan kempen itu berjaya sepenuhnya.
Antaranya ialah pihaknya akan memastikan jumlah tong sampah mencukupi, jadual pengambilan sampah yang konsisten dan mendidik penjaja serta masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan.
"Inisiatif ini menunjukkan komitmen DBKK untuk memastikan kebersihan bandaraya sentiasa berada pada tahap yang tinggi.
"Dengan sokongan masyarakat, kita mampu menangani masalah ini dengan lebih berkesan,” jelasnya.
Sementara itu, aktiviti lain seperti gotong- royong membersihkan Pasar Besar Kota Kinabalu, Pertandingan Keceriaan Gerai dan Penilaian Tahap Kebersihan Pasar turut dilaksanakan sepanjang kempen terbabit berlangsung.