![]() |
Armizan. |
KUALA LUMPUR: Kabinet bersetuju dengan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melaksanakan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 yang telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.
Menerusi pindaan itu, peniaga makanan dan minuman berskala mikro dan kecil dibenarkan menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tanpa perlu mendapatkan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pindaan berkenaan akan memberi kejelasan undang-undang berkenaan barang kawalan berkenaan.
Katanya, ia juga membolehkan penguatkuasaan dilakukan dengan lebih berkesan, selain menyasarkan keperluan sebenar peniaga kecil.
“Pindaan ini turut mengambil kira kepentingan dan kelangsungan perniagaan kecil serta mikro agar mereka tidak terbeban dengan keperluan permit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDN akan menyelaras semakan dan pindaan PPKB 2021 dengan penglibatan kementerian, agensi berkaitan serta pelbagai pemegang taruh bagi memastikan pelaksanaannya lebih menyeluruh dan telus.
“Mesyuarat Jemaah Menteri memperakukan supaya tiada tindakan undang-undang diambil terhadap peniaga mikro dan kecil yang menggunakan tong LPG bersubsidi untuk kegunaan premis mereka.
“Golongan peniaga ini dibenarkan mendapatkan bekalan tong LPG bersubsidi tanpa perlu memohon PBKB,” katanya.
Dalam masa sama katanya, operasi penguatkuasaan OPS GASAK akan diteruskan bagi membanteras kegiatan penyelewengan LPG termasuk aktiviti ‘decanting’ haram dan penyalahgunaan LPG bersubsidi oleh pihak industri.
Terdahulu, PPKB (Pindaan) 2021 sebelum ini menetapkan had pemilikan dan penggunaan LPG melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa dan memerlukan permit khas.
Langkah pindaan ini dijangka memberi kelegaan kepada ribuan peniaga kecil yang selama ini bergantung kepada LPG bersubsidi untuk menggerakkan operasi harian mereka.