![]() |
Razali Razi ketika ditemui media pada Program Sentuhan Kasih Gagasan Rakyat Dun Darau, hari ini. |
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak terhegeh-hegeh mencari rakan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) sebaliknya terus fokus kepada kerja dan penyampaian khidmat kepada rakyat.
Setiausaha Eksekutif GRS, Datuk Razali Razi berkata, tumpuan utama GRS ketika ini adalah memastikan kebajikan rakyat di negeri ini terus terbela.
“Kita tidak berlakon di media dan bukan parti maya. Kita adalah parti yang turun ke lapangan secara fizikal untuk bantu rakyat,” katanya ketika ditemui media, di sini hari ini.
Razali berkata, pendekatan GRS adalah jelas dan berpaksikan keikhlasan, dengan menolak sebarang permainan persepsi semata-mata untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya.
“Formula yang kita guna sekarang GRS dan PH Plus kerana ia adalah formula yang berkesan.
"Soal sama ada pihak lain mahu bekerjasama atau tidak, bukan soal kita. Kita tidak terhegeh-hegeh mencari partner. Fokus kita adalah delivery,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh kenyataan yang dibuat beberapa pemimpin politik lain termasuk dari kalangan bekas rakan seperjuangan yang mengkritik pendekatan GRS, menyifatkan kenyataan itu sebagai 'komen serpihan' yang tidak menggugat gerak kerja GRS.
“Apa yang kita buat adalah hasil daripada kehendak rakyat Sabah. Mereka mahu perubahan, mahu sesuatu yang baru.
"Jadi kita dengar dan kita bentuk parti yang berasaskan kandungan tempatan dan aspirasi mereka,” tambah beliau.
Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas ini, Razali berkata, GRS sentiasa terbuka namun sebarang keputusan hanya akan dibuat apabila tiba masanya.
“Yang penting sekarang adalah kerja, bukan politik. Kita tak tunggu musim pilihan raya untuk bantu rakyat. Kita buat secara konsisten, bukan bermusim,” katanya lagi.
Mengulas mengenai pengundi di kawasan Darau, beliau memaklumkan jumlah pengundi berdaftar ketika ini mencecah lebih 32,000 orang dan pihaknya komited memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.