PRN17: GRS beri bayangan kerjasama dengan PH tanpa BN

Masidi pada sidang media Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MyKasih anjuran SMJ Energy Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan MyKasih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanibungan, di sini, semalam.
 

PITAS: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi bayangan kemungkinan besar akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), tanpa penglibatan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata keputusan muktamad berhubung kerjasama itu belum dimuktamadkan dan hanya akan diputuskan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dijangka diadakan bulan ini atau awal bulan depan.

“Keputusan rasmi belum dibuat kerana kita masih menunggu mesyuarat Majlis Tertinggi. Bagaimanapun, saya percaya Presiden GRS sudah mengadakan pertemuan dengan semua pemimpin parti komponen GRS dan juga kepimpinan PH secara tidak rasmi.

“Saya yakin maklum balas daripada semua pihak termasuk parti sahabat sedang diambil kira sebelum keputusan dibuat sama ada mahu bergerak sendiri atau bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MyKasih anjuran SMJ Energy Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan MyKasih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanibungan, di sini, semalam.

Masidi berkata, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS sudah beberapa kali menyatakan keinginan untuk membentuk kerjasama PH-GRS dalam menghadapi PRN17, demi menjamin kestabilan politik negeri.

“Contohnya di Sarawak, kestabilan politik membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi. Sabah juga mahu mencontohi pendekatan sedemikian,” katanya.

Mengulas kemungkinan GRS bertanding secara solo sekiranya PH dan BN bergabung di peringkat negeri, Masidi menjelaskan perkara itu mempunyai pelbagai tafsiran.

Katanya, kepimpinan UMNO dan BN Sabah secara konsisten menyatakan mereka enggan bekerjasama dengan GRS, dan GRS juga berpendirian sama.

“Malah, ramai pemimpin dan ahli GRS menyatakan mereka lebih selesa bekerjasama dengan PH, tertakluk kepada rundingan pembahagian kerusi. 

“Kita dapati agak sukar untuk bersama BN atas sebab-sebab yang telah lama dinyatakan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama