![]() |
187 PATI ditahan dalam OPS besar-besaran di tiga penempatan warga asing sekitar Kota Kinabalu. |
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 187 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan besar-besaran di tiga penempatan warga asing sekitar Kota Kinabalu, awal pagi tadi.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi bermula sekitar jam 1 pagi itu melibatkan seramai 108 pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Sabah dan digerakkan hasil risikan serta aduan awam yang diterima sejak seminggu lalu.
Katanya, dalam operasi ini, seramai 260 individu diperiksa yang terdiri daripada warganegara asing dan tempatan. Hasilnya, 187 orang PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Daripada jumlah itu, 41 adalah lelaki, 43 wanita, 56 kanak-kanak lelaki dan 46 kanak-kanak perempuan, kesemuanya warganegara Filipina, serta seorang lelaki warganegara Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
“Semua individu ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kesemua PATI terbabit dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Operasi seumpama itu akan terus dijalankan secara berterusan bagi membanteras kehadiran PATI yang melanggar undang-undang negara.
“Sehingga kini, seramai 15,092 orang telah diperiksa dalam pelbagai operasi di seluruh Sabah, dengan 2,777 tangkapan dibuat serta 6,290 PATI telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing,” katanya.
SH Sitti Saleha menyeru orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti PATI atau premis yang menggaji warga asing secara tidak sah kepada pihak berkuasa.
“Jabatan Imigresen akan terus komited menjalankan tanggungjawab bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara, serta memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang imigresen dibenarkan bekerja dan tinggal di Malaysia,” katanya.