PUTATAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dijangka akan didakwa berhubung siasatan Op Adun bulan ini tidak akan memberi kesan terhadap kerajaan negeri dibawah pentadbirannya.
Menurutnya, beliau yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata pihaknya mengambil maklum berhubung pengesahan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung perkara terbabit yang dilaporkan media, pagi tadi.
"Saya ambil maklum perkara itu. Kita mesti menghormati proses undang-undang dan kita biarkan jabatan yang berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya.
"Kerajaan negeri komited untuk memastikan bahawa kita menghormati bukan sahaja undang-undang tetapi mewujudkan integriti di kalangan anggota kerajaan dan juga penjawat awam.
"Saya ingat tidak memberi kesan (kepada kerajaan negeri. Saya dapat maklum mereka (SPRM) akan membuat pendakwaan kepada dua orang (ADUN). Saya tidak tahu siapa. Jadi apa pun, kita menegakkan proses undang-undang itu mesti berjalan sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Petagas dan Bukit Vor bertempat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Putatan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hajiji turut pihaknya turut menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk memutuskan berhubung perkara itu sekiranya didakwa.
"Biar mahkamah memutuskan sama ada mereka bersalah atau tidak. Ada ruang untuk mereka membersihkan nama mereka. Itu saya yang fikir itu," katanya.