Mangsa kebakaran Kg Petagas, Bukit Vor terima bantuan awal kerajaan

 

Hajiji (tengah) diiringi Shahelmey (kanan) memberi kata-kata semangat sambil menyampaikan sumbangan kepada salah seorang KIR yang ditimpa musibah kebakaran.

PUTATAN:   Tujuh puluh empat mangsa kebakaran daripada 28 keluarga di Kampung Petagas dan Bukit Vor hari ini menerima bantuan awal daripada kerajaan negeri.

Bantuan berupa Wang Ihsan (BWI) bernilai RM1,000, bantuan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) RM1,000, bantuan Pusat Zakat Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sebanyak RM1,000 dan bakul makanan serta RM300 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah itu disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kepada ketua isi rumah (KIR) ketika turun padang melawat mangsa terjejas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Sri Putatan. 

Hajiji yang ditemui media memaklumkan, kerajaan juga akan membina lebih kurang 10 buah rumah SMJ bagi rumah yang musnah sepenuhnya di tapak sedia ada manakala, rumah yang terbakar sebahagian akan menerima bantuan di antara RM5,000 hingga RM10,000.

"Jadi, bagi mereka yang rumah yang terbakar semua, kita akan cari jalan membantu mereka mendirikan semula rumah mereka di tapak yang ada sekarang ini.

"Kita amat prihatin dengan masalah yang mereka hadapi ini dan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan bantu mereka. 

"Ada laporan yang rumah lebih kurang sepuluh rumah kita akan bina melalui Rumah Mesra SMJ manakala, yang ada rumah yang sebahagian terbakar mungkin kita akan bantu diantara RM5,000 hingga RM10,000 kepada setiap mangsa kebakaran," ujar beliau.

Hadir mengiringi beliau ialah Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Awang Sahari, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Datuk Awang Shahminan Datuk Sahari dan Pegawai Daerah Putatan Masawi Salleh.

Dua insiden kebakaran berasingan itu masing-masing berlaku di Kampung Petagas kira-kira jam 4 petang pada 16 Jun dan Bukit Vor jam 12.30 tengah malam 17 Jun lalu.

Kebanyakan mangsa kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Sri Putatan yang diaktifkan sejak mulai jam 4.30 petang Selasa lalu.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama