Isu penggunaan LPG: Sabah bantu dapatkan pandangan pemegang taruh, peniaga berskala mikro


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mendapatkan pandangan daripada pemegang taruh dan peniaga berskala mikro di Sabah berkaitan isu penggunaan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif terbabit dilakukan susulan kelulusan kabinet ke atas syor KPDN untuk melaksanakan pindaan kepada peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang meletakkan sekatan had penggunaan LPG bersubsidi kepada sektor komersial.

"YB Ginger Phoong akan membantu mendapatkan pandangan daripada stakeholders kalangan peniaga jualan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil di Sabah. 

"Peruntukan undang-undang baharu kelak perlu mengimbangi keperluan membenarkan para peniaga menggunakan LPG bersubsidi dengan faktor mekanisme kawalan dan pemantauan agar ia dapat dimanfaatkan secara bersasar serta mengekang risiko ketirisan.

"Beliau juga membangkitkan suara sebahagian pengusaha kedai dobi. Saya maklumkan yang KPDN sedia maklum rayuan mereka dan wakil kementerian sedang melaksanakan sesi libat urus," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook rasminya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan sebarang pertimbangan perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti keperluan untuk dilaksana secara bersasar, bukannya secara pukal dan tanpa mekanisme pemantauan.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama