'Naik angin' cekik, ugut wanita

Suspek (kedua dari kanan), seorang wanita berusia 20 tahun kini ditahan polis bagi siasatan lanjut.


TAWAU: Gara-gara tidak puas hati isu peribadi, seorang wanita nekad menyerang dan mengugut seorang wanita lain dalam kejadian di sebuah rumah di Merotai Besar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 19 tahun dikatakan sedang berehat di rumahnya sebelum didatangi suspek yang juga wanita berusia 20 tahun.

Difahamkan, suspek datang kononnya mahu berbincang mengenai masalah berkaitan anak saudara mangsa, namun perbincangan bertukar tegang sebelum suspek ‘naik angin’.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dipercayai tiba-tiba menyerang mangsa dengan mencekik leher, menumbuk bahu kiri dan turut mengeluarkan ugutan akan mencederakannya.

“Bimbang dengan keselamatannya, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bombalai jam 9.25 malam hari sama.

“Bertindak atas laporan, sepasukan anggota polis menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan suspek kira-kira jam 11.50 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu atau mengikut emosi apabila berdepan sebarang pertikaian.

“Tindakan terburu-buru bukan saja boleh membahayakan orang lain, malah boleh menyebabkan diri sendiri berdepan tindakan undang-undang.

“Sebarang kejadian atau ancaman perlu segera dilaporkan kepada polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama