![]() |
Suspek ditahan polis dalam serbuan di Taman Semarak kerana disyaki memproses dan menjual air ketum. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU: Tindakan licik seorang lelaki menjadikan rumahnya sebagai ‘port’ memproses, menyimpan dan mengedar air ketum membawa padah apabila diserbu polis dalam satu operasi di Taman Sri Semarak, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek berusia 30 tahun ketika sedang berehat di ruang tamu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 21 botol plastik lutsinar 1.5 liter berisi cecair disyaki air ketum disorokkan dalam dua peti sejuk berasingan di dapur rumah terbabit.
"Suspek dipercayai merebus sendiri air ketum sebelum menjual kepada pembeli tempatan dengan harga RM20 sebotol,”
"Nilai rampasan membabitkan keseluruhan 31.2 liter air ketum terbabit ianggarkan sebanyak kira-kira RM350,"katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, ujian saringan awal bagaimanapun mendapati suspek bebas daripada sebarang penggunaan dadah serta tiada rekod jenayah lampau.
"Suspek dan barang rampasan di bawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau hukuman penjara.
“Polis akan terus mempergiat usaha membanteras aktiviti pengedaran air ketum yang semakin berleluasa, khususnya di kawasan perumahan awam,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan seumpama itu kepada pihak polis bagi memastikan komuniti terus selamat daripada ancaman dadah dan bahan terlarang.