MUIS sasar RM155 juta kutipan zakat - Arifin

 

Arifin ketika ditemui media di Istana Seri Kinabalu.

KOTA KINABALU:   Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyasarkan RM155 juta jumlah kutipan zakat pada tahun ini.

Menurut Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Arif sasaran itu termasuk zakat penggajian yang menyumbang sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan zakat.

"Untuk makluman, insyaAllah kita target kutipan zakat pada tahun ini RM155 juta. Antara penyumbang yang ramai ialah zakat penggajian lebih kurang 40 peratus, kemudian zakat perniagaan.  

"Jadi, kita juga mengalu-alukan mana-mana syarikat atau GLC untuk terus menunaikan zakat," ujar beliau pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Tahun 2024 Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Arshad Raja Uda kepada Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.

Penyerahan zakat tersebut disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Dewan Kunjungan, Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad, Mufti Kerajaan Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif  MUIS Ramlan Awang Ali, Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Datuk Rick Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif dan  Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee dan Ketua Pengurusan Shariah Dr. Ahmad Basri Ibrahim.

Setakat semalam (11 Jun), MUIS mencatatkan jumlah kutipan zakat RM 58,263,703.96 berbanding jumlah agihan RM 63,712,668.71 dengan zakat penggajian yang menyumbang 51.43 peratus iaitu RM29,962,478.35, diikuti zakat perniagaan dengan sumbangan 17.91 peratus (RM10,437,740.93), zakat pendapatan dengan 8.1 peratus (RM4,719,458.40) dan zakat simpanan 6.4 peratus (RM3,726,641.83). 

Manakala, lain-lain zakat termasuk zakat emas dan perak, saham, pertanian dan ternakan masing-masing di bawah 2 peratus.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama