FKAT Siri Ke-10 dijangka lebih meriah

Nizam ketika ditemui pemberita.
KOTA KINABALU: Genap sedekad penganjuran, Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Siri Ke-10 pada 2 Ogos ini dijangka lebih meriah.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata festival yang kini berusia 10 tahun itu akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

"Pada hari ini, saya bersama-sama dengan Presiden Majlis Perbandaran Tawau menjemput secara rasmi Tuan Yang Terutama Tun untuk melancarkan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau yang akan diadakan pada 2 Ogos 2025 di Tawau.

"Seperti mana kita semua sedia maklum, festival ini merupakan program hasil daripada legasi yang telah dibawa oleh Tuan Yang Terutama Tun semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sabah yang mana festival ini buat pertama kali telah diadakan pada tahun 2011.

"Jadi, masyarakat dan seluruh rakyat yang ada di Tawau amat berbesar hati untuk menjemput Tun supaya festival pada tahun ini dapat dilancarkan sendiri oleh Tuan Yang Terutama dan juga akan dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah," ujar beliau.

Menurut Nizam, festival tahunan itu sentiasa mendapat sambutan hangat dan mampu menarik kehadiran 50,000 pengunjung sekali gus dapat menyumbang kepada ekonomi masyarakat Tawau khususnya.

"Setiap penganjuran festival ini, kehadiran tidak kurang daripada 50,000 pengunjung yang datang ke Tawau untuk menyaksikan acara kemuncak iaitu Persembahan Kebudayaan termasuk perarakan masuk pelbagai etnik dan budaya. 

"FKAT ini adalah satu acara tahunan yang memang dinantikan oleh semua rakyat termasuk negara-negara jiran kita seperti Indonesia, Filipina dan juga negara-negara ASEAN yang telah mengambil bahagian di dalam Persembahan Kebudayaan.

"Sabah sendiri mempunyai pelbagai etnik dan kebudayaan maka inilah satu platform yang boleh kita gunakan untuk memperkenalkan Tawau sebagai salah satu tempat dan perbandaran di mana pertemuan pelbagai budaya Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei di Tawau.

"Saya difahamkan bahawa penyertaan sedang kita usahakan dan saya yakin bahawa setiap tahun memang ada penyertaan bukan sahaja dari dalam negeri tetapi daripada negara-negara luar selalunya dari Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand dan juga daripada negara-negara Timur Tengah kadang-kadang ada juga datang untuk menyertai festival ini. 

"Sudah pasti ini akan memberi limpahan ekonomi, boleh memperkenalkan Tawau dan boleh menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dan agama ini di bawah satu negara, satu kawasan khususnya di Tawau," katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Presiden Majlis Perbandaran Tawau Joseph Pang memaklumkan FKAT Ke-10 akan mengetengahkan konsep perkahwinan, kepahlawanan dan kraf tangan.

"Konsep kita sentiasa berubah, kita akan ketengahkan elemen-elemen perkahwinan, kepahlawanan dan kraf tangan. 

"Lebih kurang 30 etnik akan membuat persembahan jadi kita akan pecahkan 10 etnik memperagakan elemen-elemen perkahwinan, 10 lagi lebih kepada elemen kepahlawanan dan 10 lagi kepada kraf tangan," jelas beliau.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama