Blok baharu Hospital Queen Elizabeth diluluskan secara prinsip – Masidi

Masidi (tengah) di pelancaran Galeri Sejarah Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, di sini, hari ini

KOTA KINABALU: Pembinaan blok baharu Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini telah diluluskan secara prinsip oleh kerajaan pusat, kata Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Menurut beliau, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan kesihatan di hospital rujukan utama negeri itu terus dipertingkatkan.

“Melihat keadaannya sekarang dan memandang ke hadapan dengan penuh harapan bahawa akan ada penambahan fasiliti dan juga kemudahan-kemudahan lain di hospital ini.

“Hospital Queen Elizabeth adalah hospital utama di Sabah dan saya sendiri telah menyatakan semasa ucapan saya dulu bagi kerajaan, kerajaan pusat memberi penumpuan untuk menaik taraf kemudahan-kemudahan yang ada di sini dan langkah pertama barangkali ialah pembinaan bangunan atau blok baru yang saya difahamkan telah pun diluluskan secara prinsip,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Papan Tanda dan Galeri Sejarah Hospital Queen Elizabeth, hari ini.

Mengulas lanjut, Masidi turut menyentuh isu kekurangan tempat letak kenderaan di Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas yang semakin mendesak.

Katanya, isu itu telah beberapa kali dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah dan memerlukan tindakan segera pihak berkaitan.

“Ini juga bukan sahaja masalah di hospital ini tetapi juga masalah di hospital Likas. Masalah ini adalah parking dan mungkin ini satu masalah dan cabaran yang perlu ditangani dengan cepat oleh pihak pengurusan Kementerian Kesihatan.

“Saya difahamkan bahawa Menteri yang bertanggungjawab atau Exco Kesihatan kita, Datuk James Ratib akan membawa dan berjumpa dengan pihak yang berkenaan di Kuala Lumpur bagaimana untuk mempercepatkan penyelesaian masalah ini,” katanya lagi.

Dalam majlis yang sama, turut menyaksikan pelancaran Galeri Sejarah Hospital Queen Elizabeth sebagai satu usaha memartabatkan peranan institusi kesihatan itu yang telah lama berkhidmat untuk rakyat Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama