![]() |
Ewon merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Pinasang Tamu Darat dan Pelancaran Premis Tamu Desa Tamu Darat - ihsan KUSKOP |
KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan membina lebih banyak premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak tahun ini, sebagai usaha meningkatkan kemudahan gerai luar bandar serta memperkasa usahawan tamu.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata pihaknya menerusi KUSKOP menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk melaksanakan Projek Pembangunan Premis Tamu Desa tahun ini.
Katanya, ini termasuk tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa Program MADANI Rakyat (PMR) di Tawau bulan lalu.
“Tahun lalu, kita berjaya membina dan menaik taraf sebanyak 98 premis Tamu Desa di seluruh Sabah dan Sarawak. Tahun ini, dengan peruntukan RM20 juta, saya berharap jumlah yang sama atau lebih dapat dibina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Pinasang Tamu Darat dan Pelancaran Premis Tamu Desa Tamu Darat, di sini, hari ini.
Premis Tamu Desa di kampung terbabit melibatkan kos sebanyak RM250,000, mula dibina penghujung tahun lalu dan dijadualkan siap sepenuhnya tahun ini.
Buat pertama kalinya, Kerajaan menerusi KUSKOP memperkenalkan Projek Pembangunan Premis Tamu Desa pada tahun 2024 dan dalam Belanjawan 2024, KUSKOP diperuntukkan RM20 juta bagi pelaksanaan premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Ewon berkata daripada 98 premis Tamu Desa yang telah disiapkan di seluruh Sabah dan Sarawak pada tahun lalu, sebanyak 14 Tamu Desa dibina di kawasan Kota Belud.
“Saya dimaklumkan oleh para pimpinan kampung, premis ini memberi manfaat besar kepada penduduk, khususnya golongan ibu dan usahawan kecil yang berniaga setiap minggu.
“Ia bukan sahaja menyediakan ruang yang lebih selesa untuk berjualan, tetapi boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan pada hari-hari lain,”katanya.
Menurutnya, keperluan pembangunan premis Tamu Desa berbeza dimana bergantung kepada lokasi dan skop kerja yang ditentukan oleh Pejabat Daerah, sama ada pembinaan baharu atau naik taraf.
“Kos naik taraf ada yang RM100,000 dan ada yang mencecah RM300,000. Justeru, kementerian akan menyalurkan peruntukan berdasarkan nilai dan keperluan yang dikemukakan oleh pejabat daerah masing-masing,” katanya.
Ewon berkata, setakat Mei lepas, permohonan untuk bina baharu dan naik taraf premis Tamu Desa di Sabah sahaja telah mencecah RM40 juta, termasuk permohonan dibawa daripada tahun lalu yang belum sempat dilaksanakan.
“Jumlah ini belum mengambil kira permohonan dari Sarawak. Walaupun bajet kita terhad, apa yang penting adalah kesinambungan daripada apa yang kita telah laksanakan tahun lalu.
“Apa yang kita mulakan pada tahun lepas akan diteruskan dan diperluas pada tahun ini. Saya yakin program ini akan menjadi antara input utama kementerian dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030),” katanya.
Katanya, inisiatif Tamu Desa adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memberi perhatian khusus kepada keperluan luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Ia selaras dengan agenda pembangunan inklusif negara dan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara.