![]() |
Fahmi (tengah) semasa melancarkan logo dan tema HKHM2025 - ihsan Jabatan Penerangan Malaysia. |
KUALA LUMPUR: "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" dipilih sebagai tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM2025), manakala logo tahun sebelumnya dikekalkan hingga tahun 2027.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM2025, tema itu merupakan cerminan visi kerajaan untuk memperkukuh pembangunan negara dengan pendekatan berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial dan keadilan.
Katanya, konsep Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri menekankan prinsip pembangunan yang menyeluruh dan seimbang antara kemajuan material dan pembangunan rohani, merangkumi aspek kemajuan ekonomi, integriti pentadbiran dan perpaduan masyarakat.
Malah ujar Fahmi, penekanan pada tema, "Rakyat Disantuni" pula menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat diberikan perhatian utama.
Beliau mengumumkan demikian dalam Majlis Sidang Media Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM2025) di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penerangan, Julina Johan.
Fahmi menjelaskan, sambutan bulan kebangsaan akan dimulakan dengan penganjuran Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Johor, pada 27 Julai ini.
Ia diikuti dengan Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya pada 31 Ogos dan seterusnya Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pulau Pinang pada 16 September.
Tambah beliau, sepanjang Bulan Kebangsaan, pelbagai pengisian program (sisipan) dan aktiviti akan diadakan bagi menggelorakan semangat cintakan negara, antaranya Quran Hour, Kira Detik Merdeka, 1Rumah 1Jalur Gemilang, Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Pengisahan Kenegaraan @Kelab Malaysiaku, PENTARAMA Merdeka@HOHO, Wayang Pacak Merdeka, RIUH Merdeka dan banyak lagi.
Selaras dengan itu, portal rasmi Merdeka360 (https://www.merdeka360.my/web/) diberikan suntikan baharu dengan penambahan menu Kalendar Acara untuk memaparkan senarai program dan aktiviti HKHM 2025 di peringkat nasional, kementerian, negeri dan daerah.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )