![]() |
206 orang PATI berkumpul di Depot Papar dalam Operasi Pemindahan Tahanan, semalam. |
KOTA KINABALU: Seramai 206 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Operasi Pemindahan Tahanan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.
Kesemua PATI terbabit merupakan penghuni Depot Imigresen Papar dan terdiri daripada 119 lelaki dewasa, 43 wanita dewasa, 28 kanak-kanak lelaki serta 16 kanak-kanak perempuan berusia antara 11 bulan hingga 63 tahun.
Mereka dihantar pulang ke Zamboanga, Filipina melalui pintu masuk negeri ini dengan kanak-kanak terbabit turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi berkenaan menyumbang kepada jumlah keseluruhan 4,970 PATI warga Filipina yang dihantar pulang dari Sabah setakat ini pada tahun 2025.
“Secara keseluruhan, seramai 6,273 PATI telah dipindahkan ke negara asal masing-masing tahun ini.
"Semua yang dihantar pulang telah menjalani hukuman berdasarkan peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan sah yang dikeluarkan oleh Kedutaan Republik Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas atau kemudahan yang diberikan kerajaan.
“Tindakan undang-undang termasuk pendakwaan akan diambil ke atas majikan atau pemilik premis yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah, serta individu yang melanggar syarat pas atau permit seperti termaktub di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, JIM Sabah turut menyeru para majikan agar memastikan pengambilan pekerja asing dibuat menerusi saluran sah bagi mengelak tindakan undang-undang.
“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini,” katanya.