Mabuk ketika memandu, anggota tentera kena jel sebulan, denda RM10,000.00

Davyson Nyanggau Anak Lawai, 36, (tengah) dihukum penjara sebulan dan denda RM10,000 atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

TAWAU : Gara-gara memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kemalangan, seorang anggota tentera dihukum penjara 30 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Hukuman itu diputuskan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas tertuduh, Davyson Nyanggau Anak Lawai, 36, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengikut pertuduhan asal, dia didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta sama (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000 serta hilang kelayakan lesen selama sepuluh tahun jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, menerusi representasi "plea bargain" yang dikemukakan peguam, pihak pendakwaan bersetuju meminda pertuduhan kepada seksyen yang lebih ringan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh berpangkat koperal yang bertugas di Rejimen Askar Wataniah Kem Kukusan di sini, didapati memandu kenderaan jenis Perodua Bezza dengan kandungan alkohol 372 miligram etanol dalam 100 mililiter darah, jauh melebihi had ditetapkan iaitu 50mg/100ml.

Kejadian berlaku pada 25 April 2024 kira-kira jam 10.45 malam di Jalan Utara, Simpang Kem Kukusan, apabila tertuduh terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal lelaki berusia 27 tahun cedera.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh hilang kelayakan untuk memiliki lesen memandu bermula tarikh sabitan hari ini serta menjalani hukuman penjara tambahan sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam manakala tertuduh diwakili peguam Jhesseny P Kang.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama