KOTA KINABALU: Seramai 135 peserta dari negara rantau ASEAN (kecuali Brunei) menyertai Forum Kesihatan Mental Belia ASEAN yang berlangsung di sini, pada ahad.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata acara anjuran pihaknya itu bertujuan memberi kesedaran dan menyediakan ruang untuk berinteraksi dengan barisan pakar untuk membincangkan mengenai kesihatan mental di kalangan belia.
“Langkah (penganjuran forum) ini bukanlah yang pertama, tetapi ianya sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu golongan belia dan individu yang terkesan mendapatkan sokongan dan perkhidmatan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Roundtable Discussion: ASEAN Youth Mental Health 2025 di Grand Ballroom, Shangri-La Tanjung Aru pada Ahad.
Menurutnya, selain menyediakan ruang perbincangan interaktif, ia turut menjadi platform untuk perkongsian idea bagi mendapat kerjasama antara negara ASEAN dalam usaha menangani isu kesihatan mental belia.
"Melalui forum ini, kami berharap belia dapat berkongsi idea dan sumber rujukan penting dengan negara-negara ASEAN.
"Memandangkan kehidupan dan budaya di ASEAN yang hampir serupa, perkongsian seperti ini dapat mempercepatkan proses menyediakan bantuan yang lebih efektif kepada golongan belia," jelasnya.
Dalam pada itu, Hannah turut memaklumkan bahawa forum yang dijalankan ini bukan sekadar penyelesaian akhir, tetapi langkah pertama ke arah menangani isu kesihatan mental belia yang dipilih sebagai topik utama bagi ASEAN.
"Kami percaya bahawa untuk menangani isu kompleks seperti ini, kerajaan sahaja tidak mampu menyelesaikannya.
“Kita memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk pakar perubatan, golongan belia, dan badan-badan agama, untuk bersama-sama berbincang dan mencari jalan penyelesaian," ujar beliau.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa peranan tokoh agama amat diperlukan dalam memberikan kesedaran secara menyeluruh kepada golongan belia terutamanya yang beragama Islam.
"Kementerian Belia dan Sukan secara berkala mengadakan dialog bersama panel agama yang pelbagai di Malaysia untuk mendapatkan pandangan serta bantuan mereka.
"Ini kerana tokoh agama sering berinteraksi dengan golongan belia, terutamanya dalam kalangan masyarakat Muslim melalui aktiviti mingguan," jelasnya.