![]() |
Foto ihsan Bomba |
SIPITANG: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Kampung Lingkungan Ulu, Jalan Sindumin di sini petang tadi.
Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Calvin Joe Jeafry dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.37 petang.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 14 kilometer.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 3.50 petang, kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda yang bertembung dengan lori membawa muatan besi.
“Empat mangsa lelaki terlibat dalam kejadian itu, manakal seorang mangsa berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia," katanya.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala tiga lagi mangsa cedera dihantar ke hospital oleh pasukan EMRS Bomba dan ambulans KKM.
Difahamkan, dua daripada mangsa mengalami kecederaan parah, manakala seorang lagi cedera ringan.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.50 petang setelah pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian," jelasnya lagi.