![]() |
Jeffrey. |
KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Gapari Kitingan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan menerima wang berjumlah RM1.78 juta yang dikaitkan dengan skandal perlombongan di negeri ini.
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sabah menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas serta bermotif politik dengan tujuan untuk mencemarkan imej dirinya dan kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Tuduhan ini adalah rekaan semata-mata yang digerakkan oleh aktor politik terdesak untuk menjejaskan kestabilan politik Sabah.
"Ia bukan perkara baharu dan sudah pernah digunakan sejak tahun 1960-an,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas laporan portal berita Malaysiakini yang mendakwa dirinya menerima dana berkaitan satu skandal perlombongan.
Jeffrey berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang wang berhubung permohonan perlombongan atau sebarang aktiviti yang melibatkan skandal seperti didakwa.
"STAR tidak pernah terbabit dalam sebarang aktiviti perlombongan mahupun membuat permohonan lesen berkaitan.
“Kami sentiasa konsisten dalam pendirian bahawa aktiviti perlombongan bertentangan dengan prinsip Perjanjian Pemeliharaan Alam Semula Jadi (NCA) yang diperjuangkan parti,” katanya.
Menurutnya, beliau serta beberapa pemimpin STAR sudah memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk menyerahkan kenyataan lengkap bagi membantu siasatan.
“Ini harga yang perlu dibayar apabila kita memperjuangkan hak-hak Sabah,” katanya.
Jeffrey berkata, kenyataan terdahulu pemberi maklumat turut mengesahkan bahawa STAR dan Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak pernah menerima sebarang dana atau terbabit dalam salah laku rasuah seperti didakwa.
Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysiakini susulan penyiaran laporan berunsur fitnah dan berbaur politik.
“Kami menjangka lebih banyak tohmahan dan fitnah akan dilemparkan, terutamanya menjelang pilihan raya akan datang.
"Sudah pasti ada pihak yang akan mengambil kesempatan dan cuba memanipulasi keadaan demi kepentingan politik sempit mereka,” katanya.