![]() |
Keadaan mangsa yang parah selepas ditikam dalam kejadian pergaduhan berhampiran sebuah pasar raya, di Tawau, petang tadi. Foto & video| Tular media sosial. |
TAWAU : Seorang lelaki cedera parah dengan usus terburai selepas dipercayai ditikam oleh rakan sendiri dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah pasar raya di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 3.43 petang itu, kedua-dua lelaki yang bekerja sebagai buruh kasar dan saling mengenali dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol sebelum tercetus pertengkaran yang membawa kepada insiden tikaman menggunakan senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 memaklumkan kejadian pergaduhan berkenaan.
“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Unit MPV telah dikerahkan ke lokasi dan berjaya menahan suspek lelaki berusia 37 tahun kira-kira jam 5 petang di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek dan mangsa tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan senjata tajam dipercayai digunakan dalam kejadian turut dirampas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata, dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen sah.
“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) akta sama untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sebelum itu, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan mangsa dalam keadaan lemah dan berlumuran darah dengan usus terkeluar namun masih bernyawa, sambil diperhatikan orang awam di lokasi kejadian.
Mangsa telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.