![]() |
Sebahagian individu yang di periksa menerusi Ops Sapu dan Ops Selera oleh Jabatan Imigresen Malaysia Sabah di Semporna baru-baru ini. Foto | Ihsan JIM Sabah. |
SEMPORNA : Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam dua operasi berasingan di sekitar daerah ini, baru-baru ini.
Operasi khas Ops Sapu dan Ops Selera bermula 9 Jun dan berakhir semalam membabitkan pemeriksaan di beberapa lokasi utama termasuk kawasan awam dan premis makanan yang menjadi tumpuan warga asing.
Pengarah JIM Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi selama tiga hari itu membabitkan seramai 29 pegawai Imigresen Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Semporna.
"Menerusi Ops Sapu, dua lelaki warga China dan seorang lelaki warga Pakistan ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.
"Manakala lapan lagi individu masing-masing terdiri daripada lima wanita dan duan lelaki warga Filipina sera seorang wanita warga China turut ditahan menerusi Ops Selera," katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Mengulas lanjut SH Sitti Saleha berkata semua tahanan itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tegas beliau lagi, JIM Sabah akan terus komited dan meningkatkan operasi dari semasa ke semasa bagi mengekang kemasukan serta kehadiran PATI di negeri ini.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak atau individu yang bersubahat termasuk majikan yang menggaji pendatang asing tanpa permit sah.
"Justeru, orang ramai diminta supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI yang bekerja secara haram kepada pihak berkuasa,” katanya.
Sebelum ini, beberapa siri operasi JIM Sabah turut dijalankan di daerah lain termasuk Tawau, Kota Kinabalu, dan Keningau yang menyaksikan ratusan PATI ditahan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.