![]() |
Menteri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika ditemui media di Tawau, semalam. |
TAWAU : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang membelenggu warga kampus induk berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, penyaluran tambahan peruntukan itu menjadikan jumlah keseluruhan yang disalurkan oleh kerajaan kepada UMS mencecah RM5 juta, termasuk RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Saya turun sendiri ke UMS dan berjumpa dengan semua pihak termasuk pentadbiran universiti serta pelajar-pelajar dan berdasarkan maklum balas, mereka memerlukan bantuan tambahan dan kita di KPT bersetuju untuk tambah lagi RM2 juta.
“Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan pelajar tidak terabai,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) di sini pada Jumaat
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan masalah air yang berlaku bukan hanya membabitkan kawasan dalam kampus UMS sahaja, sebaliknya melibatkan penyedia bekalan air yang berada dibawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Saya tidak berniat mahu menuding jari kepada mana-mana pihak tapi perkara ini telahpun dijelaskan oleh Naib Canselor UMS dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) bahawa punca utama adalah masalah teknikal seperti saluran paip dan kuantiti air yang disalurkan ke kampus.
"Di pihak KPT, kita telah bantu sebaik mungkin termasuk pembinaan tiub bawah tanah untuk saluran air.
"Saya tidak mahu terlibat dalam polemik, yang penting pelajar dapat kemudahan dan kehidupan mereka di kampus tidak terganggu,” ujarnya.