GRS tiada halangan tunaikan hasrat Bung Moktar – Armizan


KOTA BELUD: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mempunyai sebarang masalah untuk memenuhi hasrat Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, agar Barisan Nasional (BN) dan GRS bertembung dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendekatan itu lebih wajar kerana ia menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat untuk menentukan parti mana yang layak membentuk kerajaan negeri baharu.

“Kita kena akui, ini bukan perkara baharu dalam sejarah pilihan raya negara ini, termasuk di Sabah, pertembungan antara parti-parti yang turut berada dalam kerajaan Persekutuan memang pernah berlaku.

“Johor dan Melaka adalah contoh di Semenanjung, begitu juga Sabah sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Raykat) Tempasuk, di sini hari ini.

Armizan menjelaskan, jika berlaku pertembungan antara GRS dan BN, ia membolehkan rakyat menilai sendiri kekuatan sebenar setiap parti yang bertanding tanpa sebarang dakwaan mahupun tuduhan seperti menumpang kekuatan parti lain.

Menurutnya, parti yang menang kelak adalah berdasarkan sokongan sebenar rakyat kepada parti itu sendiri, bukan bergantung pada mana-mana pihak lain.

“Walaupun pandangan ini merupakan pendapat peribadi saya, namun ia mencerminkan sentimen akar umbi GRS yang dilihat semakin terbuka untuk berdepan secara sihat dengan BN dalam PRN akan datang.

“Saya percaya majoriti pendokong GRS di peringkat akar umbi bersedia dan terbuka untuk bertembung secara demokratik dengan BN. Itu adalah hakikat politik yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama antara GRS dan parti dalam kerajaan Persekutuan, Armizan berkata, GRS tetap berpegang kepada pendirian Presiden dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, yang terbuka untuk terus bekerjasama dengan parti dalam kerajaan negeri sedia ada, termasuk Pakatan Harapan (PH).

“Rakan-rakan dalam kerajaan negeri seperti PH telah menunjukkan kejujuran dan kesediaan bekerjasama, malah mereka tidak menyokong ‘Langkah Kinabalu’ dan kekal bersama GRS sewaktu kita diuji.

“Justeru, selagi mereka komited, saya yakin kerjasama itu boleh diteruskan demi kestabilan dan kesinambungan dasar-dasar pembangunan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut menegaskan bahawa tidak wajar ada mana-mana pihak yang menggunakan alasan Kerajaan Perpaduan sebagai penghalang kepada pertembungan antara parti di peringkat negeri.

Katanya, perlu difahami bahawa kerajaan perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU) hanya terpakai untuk pembentukan kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, tidak ada klausa dalam MoU yang mewajibkan kerjasama sama dipanjangkan hingga ke peringkat negeri.

“Apa yang paling utama adalah komitmen semua parti dalam kerajaan perpaduan untuk memastikan kerajaan Persekutuan kekal stabil dan bertahan sehingga akhir penggal.

“Kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan adalah dua entiti yang berbeza. Kita perlu jelas dalam perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan hasrat Bung Moktar agar UMNO Sabah dibenarkan bertanding secara bebas sebagai suara sah seorang ketua perhubungan negeri perlu dihormati.

Ini ditambah lagi UMNO Sabah juga mempunyai autonomi tersendiri.

“Maka, eloklah jika semua pihak menghormati suara ketua UMNO Sabah. Kalau itu kehendak beliau, maka tunaikanlah,” katanya lagi.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama