![]() |
SERAH...Teo (tengah) menyerahkan poster KIS kepada pengetua SM Holy Trinity. |
TAWAU: Empat pendekatan utama Kempen Internet Selamat (KIS) diperkenalkan untuk membendung jenayah siber dalam kalangan pelajar sekolah.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pendekatan tersebut membolehkan pelajar lebih berwaspada dalam menangani ancaman alam maya.
"KIS memberi fokus kepada empat elemen utama iaitu buli siber, penipuan dalam talian, eksploitasi seksual kanak-kanak serta perlindungan data dan identiti digital.
"Pendekatan ini dilihat tepat dan mampu memperkasakan pelajar agar celik digital dan lebih berwaspada dengan risiko jenayah alam maya.
"Inilah usaha bersama untuk meningkatkan literasi digital dan membentuk para pelajar juga masyarakat menjadi celik siber seterusnya tidak terpedaya dengan ancaman jenayah siber," katanya ketika ditemui media dalam Program KIS di SM Holy Trinity, pada Jumaat.
Menurut Neo, kempen tersebut yang dilancarkan pada 21 Januari lepas, mensasarkan murid sekolah rendah, pelajar menengah serta mahasiswa agar lebih peka terhadap risiko dalam dunia maya.
"Setakat ini, sebanyak 53 buah sekolah di Sabah daripada 1,298 sekolah di seluruh negara terlibat telah dilawati dengan penglibatan lebih 11,800 peserta merangkumi murid, guru dan ibu bapa dalam usaha memberi pendidikan dan melindungi generasi muda daripada ancaman dunia siber yang semakin kompleks dengan sokongan padu daripada NGO, komuniti Madani, pihak sekolah dan agensi kerajaan.
"Di SM Holy Trinity sahaja, seramai 290 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun terlibat dalam pelaksanaan modul khas KIS yang bersifat interaktif dan mendidik meliputi latihan berfikir kritikal, empati digital serta komunikasi selamat di internet, selain mendidik pelajar mengenal pasti berita palsu, tanda-tanda pengantunan seksual, dan kepentingan melindungi maklumat peribadi," ujar beliau.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Ratnawaty Talib.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)